Ni ada kuiz cinta dari majalah REMAJA.
Cewahhh
...So sebelum majalah ni dijual untuk di '
recycle', lebih baik selamatkan tulisan yang menarik ni. Tapi kuiz ni untuk yang
single je ek hehehe
Baca situasi di bawah :
Ada 5 perkara yang berlaku secara serentak iaitu :
A. Cerek air berbunyi tanda air yang dimasak sedang mendidih di dapur
B. Air di dalam mesin basuh melimpah
C. Adik kamu yang masih bayi menangis
D. Telefon bimbit berdering
E. Ada orang menekan loceng rumah
F. Hujan turun membasahi pakaian di ampaian
Soalan :
Antara 5 situasi berikut, yang mana kamu akan lakukan terlebih dahulu? Jawapan kamu akan memcerminkan pasangan yang kamu inginkan.
Jawapan A
Jika keutamaan kamu adalah A, ertinya kamu amat mementingkan keselamatan dan suka menyelesaikan masalah di peringkat awal. Lantaran itu kamu memilih untuk menutup air di dapur kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini seperti kebakaran. Sikap ini mencerminkan keinginan kamu yang mendambakan pasangan yang boleh melindungi agar kamu berasa selamat berada di sisinya. Kamu juga amat mengharapkan kekuatan atau kelebihan dirinya untuk membimbing kamu di masa hadapan. Dalam erti kata lain, kamu memerlukan sokongan dan kata- kata semangat yang tidak berbelah bagi daripadanya. Andai berlaku pertengkaran, kamu harapkan pasangan segera memujuk dan menyelesaikan masalah bersama, malah kamu tidak suka pasangan membuatkan kamu terluka atau memendam rasa.
Jawapan B
Pilihan B membawa maksud kamu tidak suka membazir. Bagi kamu, harta dan wang ringgit perlu dijaga dan diguna sebaik mungkin. Begitu juga prinsip kamu dalam percintaan, kamu seorang yang mementingkan materialistik, bagi kamu wang serta harta dapat menjamin masa depan yang cerah dan membahagiakan kamu. Lantaran itu, kamu amat mengharapkan pasangan kamu dapat memenuhi keperluan dan kehendak kamu dengan menyediakan segala kemudahan serta kesenangan hidup. Kamu jenis yang tidak mahu hidup susah dan amat bergantung kepada pasangan. Walaupun begitu golongan ini mempunyai kelebihan kerana bijak merancang perbelanjaan, berjimat cermat dan menyimpan wang.
Jawapan C
Golongan yang memilih untuk memujuk adik agar berhenti menangis menunjukkan kamu sangat prihatin dan mementingkan kasih sayang dalam sesebuah perhubungan. Dalam hubungan percintaan, kamu dikategorikan seorang yang manja dan suka dibelai. Kamu sangat berharap pasangan sentiasa mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang kepada kamu. Bagi kamu, cinta adalah kunci kebahagiaan dan kamu tidak jemu menyemai kasih sayang bersama si dia. Pasangan yang menjadi pilhan kamu semestinya individu yang mementingkan nilai kekeluargaan dalam kehidupan.
Jawapan D
Ia mewakili sikap kamu yang peka dan mementingkan budi bahasa. Kamu juga mempunyai kelebihan dalam komunikasi, pandai bergaul dan mudah didekati. Jelas di sini, kamu amat mengambil berat tentang tujuan pemanggil dan tidak suka membuatkan orang lain tertunggu- tunggu. Dalam percintaan, kamu mendambakan pasangan yang bijak berkomunikasi, menjaga perlakuan serta berbudi bahasa. Kamu percaya komunikasi yang baik adalah rahsia mengekalkan keharmonian dalam hubungan istimewa. Sikap ini juga membongkar hasrat tersirat kamu yang inginkan pasangan bersikap terbuka dan sentiasa berdiplomasi dalam segala hal.
Jawapan E
Kamu amat memikirkan tentang diri orang lain berbanding diri sendiri. Kamu juga mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan cenderung menilai orang dari luaran. Kamu amat mementingkan rupa paras, personaliti dan penampilan pasangan. Pertama kali bertemu, kamu akan menilai luaran si dia dari cara dia berpakaian, berdandan dan membawa diri. Rupa paras pasangan menjadi keutamaan kamu sebagai teman hidup. Semestinya kamu menaruh harapan tinggi agar pasangan berpenampilan dan berpewatakan menarik. Kamu juga akan bangga jika pasangan memiliki rupa yang menawan.
Jawapan F
Golongan yang tidak suka melakukan kerja sia- sia akan bergegas mengangkat pakaian di ampaian. Kamu tidak rela melihat pakaian basah dalam sekelip mata kerana kamu berusaha keras membasuh, membilas dan menjemurnya sejak pagi. Kamu seorang yang bekerja keras dan aktif. Sesuai dengan personaliti kamu yang gigih berusaha dan tangkas, kamu juga mahukan pasangan yang ringan tulang dan sedia membantu di kala kamu susah serta senang. Kamu setia memberi sokongan padu kepada pasangan dengan harapan pasangan kamu akan bekerja keras merealisasikan impian bersama. Kamu juga mahukan pasangan yang kuat dari segi mental agar kamu dapat mengharungi dugaan demi dugaan.