Buah kiwi ni asalnya banyak tumbuh di negara China. Di sana ia lebih dikenali sebagai Yantao/ Chinese Gooseberry. Kini ia banyak tumbuh di New Zealand dan diberi nama kiwi berdasarkan burung kiwi. Kulitnya berbulu halus berwarna coklat, manakala isinya berwarna hijau muda dan berbiji hitam halus membulat di bahagian tengahnya membentuk corak bunga.
Disebabkan kecantikannya, buah kiwi sering dijadikan hiasan untuk manisan, kek, puding dan agar-agar. Boleh juga dimakan segar seperti buah-buahan yang lain atau sebagai hidangan salad. Kulitnya perlu dikupas terlebih dahulu atau pun belah sahaja dan ceduk dengan sudu.
Selain cantik sebagai hiasan buah kiwi juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Kandungan seratnya 4 kali ganda lebih banyak daripada anggur untuk mengawal nafsu makan dan melancarkan fungsi usus. Secawan buah kiwi mampu membekalkan magnesium, potassium dan serat. Gabungan ketiga-tiganya menjadi kunci untuk mengurangkan tahap kolesterol, menormalkan tekanan darah dan membina arteri yang kuat. Selain itu ia juga mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi di mana buah kiwi yang bersaiz sederhana boleh membekalkan sebanyak 75mg vitamin C.


No comments:
Post a Comment