Monday, January 20, 2014

Dunia baru Chef Zubir


CHEF Zubir mementingkan kualiti, rasa dan persembahan makanan di restorannya.

BAGI penonton setia rancangan realiti televisyen, MasterChef Malaysia, pasti teringin bersua muka dengan para jurinya yang terdiri daripada pakar bidang masakan, apa lagi menikmati air tangan mereka.

Sejak disiarkan pada tahun 2011, komen daripada Zubir Md. Zain atau Chef Zubir yang merupakan antara juri rancangan tersebut sentiasa dinanti-nantikan, kerana banyak ulasannya memberi inspirasi kepada peserta dan penonton.

Chef Zubir bukan calang-calang orang. Dia merupakan Ketua Pasukan untuk pasukan Chef Malaysia yang sering mengharumkan nama negara dalam beberapa pertandingan masakan di luar negara.

Anak kelahiran Kulim, Kedah ini mengabadikan diri selama 26 tahun dalam dunia masakan di hotel dengan berkhidmat di pelbagai hotel lima bintang.

Antaranya Hotel Hyatt, Sheraton, Marriott, Hilton dan Grand Plaza Park Royal, sebelum menyertai Hotel Le Meridien Kuala Lumpur (LMKL) pada 2004 dan berkhidmat selama sembilan tahun sebagai Eksekutif Sous Chef di sana sebelum bersara tiga bulan lalu.

Persaraannya adalah untuk memberi tumpuan kepada restoran ketiganya iaitu Wangsa Grill By Chef Zubir yang terletak di Wangsa Melawati selepas Laman Grill By Chef Zubir di Shah Alam dan Kajang.

"Ia merupakan keputusan yang amat berat memandangkan saya berkhidmat dengan hotel LMKL sejak dari pembukaannya lagi dan ia umpama rumah kedua saya.

"Namun, saya tidak menyesal dengan keputusan ini kerana dapat lebih menumpukan perhatian kepada restoran-restoran saya," ujarnya sambil memberitahu dia perlu berada di ketiga-tiga restorannya secara bergilir-gilir setiap hari.

Cabaran

Menurut Chef Zubir, sebelum ini, dia tidak pernah terfikir untuk membuka restoran sendiri kerana risiko yang agak tinggi.

Namun, dia memberanikan diri membuka restoran sendiri tiga tahun lalu bermula di Shah Alam.

"Antara cabaran sebagai restaurateur chef ™  iaitu chef yang menguruskan restoran sendiri berbanding pemilik restoran biasa ialah jangkaan dan harapan daripada pelanggan.

"Jika dapat memuaskan 80 peratus daripada pelanggan setiap hari sekalipun sudah cukup bagus kerana 'rasa' adalah suatu yang cukup subjektif.

"Saya sentiasa menerima maklum balas daripada pelanggan kerana ia amat penting. Sebagai pelanggan, mereka ada hak berbuat demikian.

"Bagi saya, macam mana hebat sekalipun seorang chef itu, kita perlu merendah diri kerana setiap maklum balas dan komen daripada mereka diambil sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki apa yang perlu," ujarnya.

Namun, atas pengalamannya dalam bidang masakan, beliau sendiri tidak pernah mengadu mengenai hidangan dan masakan sesebuah restoran lain.

Ini kerana baginya cara masakan adalah sesuatu yang amat universal. Setiap orang mempunyai cara masakan yang berbeza dan dia menghormati gaya masing-masing.

Sambung Chef Zubir, cabaran lain dalam menguruskan restoran sendiri ialah proses mencari pekerja yang berkelayakan selain memantau pembinaan restoran tersebut dari awal.

Masa lapang

Selain hebat di dapur, Chef Zubir juga mempunyai kecenderungan yang sama ketika di jalan raya.

Pada waktu lapang, Chef Zubir gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson sama ada berseorangan atau dengan rakan-rakannya. Baginya, aktiviti itu dapat menghilang tekanan penat bekerja.

Bapa kepada empat orang anak lelaki ini turut gemar menghabiskan masa bersama-sama keluarga seperti menonton wayang.

Ditanya sama ada Chef Zubir gemar memasak ketika berada di rumah, ujarnya ia diserahkan kepada isterinya.

"Tanyalah mana-mana chef sekalipun, dalam dua peratus sahaja yang memasak ketika di rumah," ujarnya yang sangat sinonim dengan loghat utara.

No comments:

Post a Comment