Sunday, September 21, 2014

Posisi Tidur Yang Salah Ketika Hamil Ancam Keselamatan Bayi

      Mencari posisi tidur yang selesa ketika sarat mengandung sudah tentu menjadi masalah. Sudah tentu juga ketidakselesaan ini berkait dengan kedudukan bayi.

Hakikatnya, ramai ibu hamil tidak menyedari bahawa posisi tidur yang salah boleh mengancam keselamatan bayi dalam rahim. Ini kerana apabila rahim semakin mebesar, ia mengambil ruang abdomen yang sudah pasti mengganggu pernafasan, penghadaman, kelancaran membuang air besar dan air kecil dan mungkin memperlahankan peredaran darah. 

Dalam hal ini ibu hamil harus tahu posisi tidur yang terbaik untuk diri dan juga bayi. Selain itu mereka juga harus menghindari posisi tidur yang mungkin menjejaskan keselamatan bayi.

TERLENTANG

Diibaratkan seperti seguni beras yang mempunyai berat 2 hingga 3 kg diletakkan di bahagian abdomen, tentu rasa senak dan sukar bernafas jika ibu hamil tidur dalam posisi terlentang.

Posisi terlentang juga akan menyebabkan rahim memberikan tekanan fizikal pada saluran darah besar dan menghalang peredaran darah ke jantung. Ini mengganggu bakalan oksigen dan nutrien pada bayi dalam rahim.

MENGIRING

Ini posisi terbaik untuk wanita hamil tidur. Mereka boleh mengiring ke sebelah kanan atau kiri. Namun sebaiknya mengiring ke sebelah kanan kerana ia lebih menepati sunnah Rasulullah S.A.W.

Tidur mengiring tidak mengganggu peredaran darah dan akan menyebabkan lebih banyak nutrien dan oksigen dihantar pada bayi dalam rahim. Selain dari mengiring, lipatkan paha dan lutut seperti posisi bayi dan letakkan bantal diantara kedua-dua paha.

Bagi ibu hamil yang mengalami sakit belakang, bantal boleh diletakkan di bawah perut di sebelah belakang. Bagi mengurangkan rasa loya dan muntah akibat reflux gastritis boleh juga tinggikan bahagian dada dengan bantal.

MENIARAP

Sudah tentu apabila semakin abdomen membesar sukar untuk tidur meniarap. Tetapi tabiat ini juga harus dihentikan ketika awal kehamilan.

Banyak kajian menunjukkan risiko untuk bayi mati dalam rahim bagi wanita hamil yang tidur mengiring adalah rendah berbanding dengan wanita hamil yang tidur dalam posisi lain.

Kesan posisi meniarap atau terlentang menyebabkan darah yang membawa oksigen dan nutrien tidak sampai kepada bayi dalam rahim dan menyebabkan kematian dalam rahim. Jadi berhati-hatilah ketika memilih posisi untuk tidur ketika hamil.

No comments:

Post a Comment